Header Ads

Pekebun kecil perlu cari tanaman alternatif selain sawit - Menteri


Pekebun kecil dan syarikat perladangan di negara ini disaran mencuba menanam tanaman lain yang mempunyai prospek pasaran yang lebih baik bagi menggantikan kelapa sawit yang kini berhadapan dengan masalah ketidaktentuan harga berikutan tekanan di pasaran antarabangsa.
Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata masalah penurunan harga minyak sawit pada tahun lepas menyebabkan ramai pekebun kecil merasa kesannya dan hanya beberapa syarikat besar sahaja yang mampu meraih keuntungan hasil perdagangan komoditi itu.

Loading...
Menurutnya, antara tanaman yang dilihat mempunyai permintaan yang tinggi termasuk kelapa, nanas, dan buluh.
“Ada syarikat yang telah mula beralih daripada tanaman kelapa sawit kepada kelapa, tetapi tidak banyak. Tanaman kelapa juga boleh mendatangkan keuntungan, malah saya difahamkan setiap tahun kita mengimport kelapa dalam jumlah yang banyak bagi menampung keperluan.
“Jadi ia merupakan sesuatu yang berbaloi untuk kita cuba, begitu juga tanaman lain seperti nenas dan pokok buluh seperti yang ditanam di Pos Lenjang, Cameron Highlands yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek The Valley@Bentongdi Kuantan hari ini.

Henti buka kawasan baru
Majlis turut dihadiri oleh Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack, Pengerusi Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri), Tan Sri Ir Wong Foon Meng dan Pengarah Urusan Kumpulan Bina Puri, Tan Sri Tee Hock Seng.
Pada masa yang sama, kerajaan juga akan menghentikan sebarang pembukaan kawasan penanaman kelapa sawit yang baru di negara ini dan ia akan dilakukan dengan kerjasama semua kerajaan negeri.
Sementara itu dalam usaha untuk memberikan imej baru kepada sektor perladangan kelapa sawit negara dan menawan semula pasaran global terutama Kesatuan Eropah (EU), syarikat-syarikat tempatan perlu memainkan peranan utama, katanya.
Antaranya termasuk mempergiatkan usaha penanaman semula dengan menanam lebih banyak pokok di kawasan yang diteroka selain menyumbang kepada pemuliharaan hidupan liar yang merupakan dua isu yang sering dibangkitkan di peringkat antarabangsa selama ini.
Dalam perkembangan lain, Teresa berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi menghantar satu pasukan untuk mengadakan pertemuan bersama jawatankuasa EU bagi membincangkan isu pemboikotan minyak sawit oleh EU.
Jika perkara itu berterusan, beliau sendiri bersama pemimpin Indonesia akan berjumpa dengan ketua negara-negara Eropah untuk menyuarakan bantahan.
- Bernama

Loading...