Header Ads

Peguam dibebaskan dari tuduhan pecah amanah RM9j


KUALA LUMPUR - Seorang peguam menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan pecah amanah berhubung perjanjian jual beli sebidang tanah di ibu negara bernilai RM9,056,124, sembilan tahun lepas.

Hakim Datuk Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ilmami Ahmad memaklumkan pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes itu dan memohon supaya How Chee Hong, 51, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Loading...

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili How memaklumkan satu representasi telah dibuat oleh pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara menyatakan tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan tertuduh melakukan perbuatan tersebut.

Katanya pada 27 Februari lepas, pihak pembelaan telah diberitahu bahawa setelah dikaji, representasi itu telah diterima, dan pihak pendakwaan tidak bercadang meneruskan kes terhadap How.

"Setelah meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan,” kata hakim itu.


Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan 16 saksi pendakwaan dan hari ini ditetapkan untuk mengetahui keputusan representasi yang dikemukakan pembelaan.

Pada 3 Mac 2016, How mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menipu pemaju hartanah Datuk Azizi Yom Ahmad, 67, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai yang dia boleh mendapatkan persetujuan daripada pemilik tanah untuk menjualkannya kepada Azizi, dan selepas memperoleh wang itu, dia menyerahkannya kepada tempat kerjanya iaitu Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, 15, Jalan Solaris, Solaris Mount Kiara, antara 24 Disember 2010 dan 4 Januari 2012, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments


Loading...