Header Ads

PAS sokong Mahathir saja, PPBM tidak, kata naib presiden PAS


KOTA BARU — PAS hanya menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika ada usul undi tidak percaya di Parlimen, bukan sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, kata Naib Presidennya Datuk Amar Nik Abdullah.

Loading...

"Mungkin Perdana Menteri salah faham (ketika pertemuan beliau dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Putrajaya baru-baru ini)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengurniaan bintang kebesaran bersempena ulang tahun ke-49 keputeraan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat Kepujian kepada 393 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mengulas mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa kerjasama di antara PAS dan Umno ketika ini tidak akan memberi sebarang manfaat pada pilihan raya umum akan datang, Mohd Amar berkata banyak kemungkinan boleh berlaku sementara menunggu pilihan raya umum ke-15.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa memfitnah PAS.

“Perkara-perkara berbentuk fitnah ini mungkin biasa bagi orang politik.

“Kitapun boleh jawab secara politik, tidak semestinya (secara) legal,” katanya yang bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan tersebut terlalu menjejaskan. — Bernama

Loading...