Header Ads

M'sia, Pakistan setuju bawa isu Palestin, Rohingya di forum a'bangsa


Malaysia dan Pakistan mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan lebih rapat dalam isu-isu yang memberi kesan kepada dunia Islam termasuk usaha bersama dalam menekankan sensitiviti Islam yang menyasarkan keperibadian suci dan kepercayaan agama Islam.

Loading...
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi selama tiga hari Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad ke Pakistan sejak Khamis, sebagai dua negara Islam yang cintakan kedamaian, Dr Mahathir dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan bersetuju untuk meningkatkan usaha dan kerjasama mereka bagi menegakkan nilai-nilai sebenar Islam dalam forum antarabangsa sambil memperkuat perpaduan umat Islam.
Dalam kenyataan itu, kedua-dua pemimpin juga menekankan bahawa keganasan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama atau kepercayaan.
"Kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pendapat mengenai situasi di Palestin dan di Rakhine, Myanmar yang melibatkan kaum Muslim Rohingya. Mengenai isu Palestin, kedua-dua negara bersetuju untuk menyumbang secara positif dalam forum lain, terutamanya dalam Jawatankuasa Enam mengenai Palestin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di mana Malaysia dan Pakistan adalah anggota," kata kenyataan itu.

Usaha antikeganasan
Kenyataan itu menambah bahawa Malaysia mengambil maklum terhadap usaha-usaha antikeganasan secara besar-besaran yang telah berjaya dilakukan Pakistan dalam usaha menghapuskan keganasan.
Kedua-dua perdana menteri juga bersetuju mengenai keperluan untuk meningkatkan hubungan pendidikan khususnya di institusi pengajian tinggi, latihan teknikal dan vokasional antara Malaysia dan Pakistan.
"Mereka bersetuju bahawa kerjasama erat dalam pendidikan tinggi dan latihan vokasional adalah elemen kritikal untuk fasa hubungan seterusnya. Pelancongan dan pertukaran belia juga dikenal pasti sebagai pemacu utama dalam mempromosikan hubungan kemanusiaan yang lebih besar dan pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan, dan dalam memupuk persefahaman antara kedua-dua negara, "menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi Malaysia juga menjemput Pakistan untuk mengambil bahagian dalam pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang akan datang dari 26 hingga 30 Mac 2019.
Kedua-dua pemimpin mengambil perhatian bahawa Konsultasi Dua Hala Pertama antara Setiausaha Luar Kementerian Luar Negeri Pakistan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, sebagai mekanisme untuk mempererat hubungan antara kedua belah pihak, telah berjaya diadakan pada 25 Feb 2019 di sini.

"Konsultasi dua hala antara kedua-dua negara telah meliputi pelbagai isu kebimbangan bersama seperti pengurusan hutang dan antikorupsi, kerjasama pertahanan, hal-hal buruh, perkara-perkara konsular, serta dinamik serantau dan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf kejayaan pertemuan Jawatankuasa Bersama ke-13 mengenai Kerjasama Pertahanan (JCDC) yang diadakan dari 26 hingga 27 Feb 2019 di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir melakukan lawatan rasmi atas jemputan Imran, di mana Dr Mahathir merupakan tetamu kehormat pada acara perbarisan Hari Pakistan pada Sabtu.
Semasa lawatan itu, Dr Mahathir telah diberikan sambutan rasmi di kediaman Perdana Menteri dan kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata serta perbincangan yang membuahkan hasil yang mendalam dalam suasana hangat dan mesra, dan meliputi pelbagai hubungan dua hala , isu-isu serantau dan antarabangsa serta kepentingan bersama.
“Dr Mahathir juga melahirkan sepenuh penghargaan kepada Presiden Pakistan Arif Alwi kerana menganugerahinya dengan Nishan-e-Pakistan (Perintah Pakistan), anugerah sivil tertinggi Pakistan dalam satu jamuan negara ," menurut kenyataan itu.
- Bernama

No comments


Loading...