Header Ads

Mahathir ingatkan Singapura akan kalah jika bawa isu air ke Mahkamah Dunia


SEPANG - Perbincangan antara Malaysia dan Singapura berhubung isu perjanjian air belum sampai ke tahap membawa perkara itu ke Mahkamah Dunia, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata setakat ini rundingan mengenai isu berkenaan berlangsung positif.

Loading...

Rundingan tertutup peringkat pegawai antara Malaysia dan Singapura di republik berkenaan hari ini, juga menyentuh isu maritim, katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Minggu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Johor perlu bijak memperjuangkan isu eksploitasi oleh Singapura terutamanya isu harga air murah yang dijual kepada negara itu.

Perdana Menteri berkata Singapura sebagai negara maju dengan pendapatan per kapita US$18,000 tidak seharusnya membeli air dari negara dengan perdapatan per kapita tidak sampai US$10,000 pada harga murah iaitu 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah sejak 1926.

Isu berkaitan perjanjian air antara kedua-dua negara kembali hangat pada pertengahan tahun lalu, apabila Perdana Menteri mengatakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai tidak masuk akal dan beliau bercadang merundingkan semula terma perjanjian itu.

Perjanjian air berkenaan berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Dr Mahathir, sebelum ini turut dilaporkan berkata Singapura akan kalah jika membawa isu air ke mahkamah antarabangsa kerana harga tidak masuk akal yang dibayar bagi bekalan air mentah dari Malaysia.

Perdana Menteri berkata kedua-dua negara perlu berunding sebelum membawa pertikaian mereka ke Mahkamah Dunia (nama biasa bagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa).

No comments


Loading...