Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah mengesahkan perkara tersebut seperti yang dilaporkan melalui akaun Facebook "Help Find Stephen Warde - in Malaysia", hari ini.

Loading...

Mesej yang berbunyi "Stephen Warde has been found safe and well in Malaysia" telah dimuat naik petang semalam.
"Ya...telah serah kepada kedutaan, (tunggu) laporan esok," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi pesanan ringkas, Whatsapp.
Sementara itu, ibu Warde, Mary Morrissey dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook berkata, anaknya ditemukan dalam keadaan selamat dan baik dan telah dipertemukan semula dengan ahli keluarga di Kuala Lumpur.
"Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian Stephen, termasuk kakitangan Kedutaan Ireland di sini dan pihak polis.

"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua di Kinrara dan kawasan sekitarnya, atas sokongan yang luar biasa dan kebaikan hati mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini," tulisnya.
Morrisey juga berkata, bahawa baki dalam dana bagi aktiviti mengutip derma bagi usaha pencarian akan disumbangkan untuk tujuan amal.
"Buat masa ini, kami tidak akan memberikan apa-apa kenyataan atau diwawancara oleh media dan kami memohon privasi supaya kami dapat menangani emosi dan menikmati detik-detik indah dipertemukan semula dengan anak lelaki saya," katanya.
Warde, 32, memasuki Malaysia sebagai pelancong pada 15 November tahun lepas dan kali terakhir dilihat di Mercu Summer Suite, Jalan Sultan Ismail pada 28 Disember lepas sebelum dilaporkan hilang. - Bernama