Header Ads

Kes hina Nabi, Islam: Polis tahan tiga individu, buru seorang lagi


Tiga individu ditahan dan seorang lagi suspek diburu polis kerana disyaki menghina agama Islam termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah.

Tiga suspek yang ditahan itu dikenali sebagai Mohd Sharulnizam Stanley, Alister anak Cogia, Mohd Yazid Kong Abdullah serta seorang masih diburu iaitu Alvin Chow Mun Fai.

Loading...

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek pertama Mohd Sharulnizam yang berusia 29 tahun ditahan di Labuan, pada Ahad lepas.

Beliau berkata, Mohd Sharulnizam direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Mohd Sharulnizam membuat komen jelik menggunakan akaun Facebook bernama ‘Bakakuk’ dan polis menerima 15 laporan sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, suspek kedua Alister berusia 22 tahun ditahan semalam di Bau, Sarawak direman selama empat hari sehingga Khamis ini.

“Alister menggunakan akaun Facebook ‘Ayea Yea’ membuat komen jelik dan 10 laporan polis diterima berhubung kes ini setakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek ketiga yang menggunakan akaun Facebook ‘Yazid Kong’ iaitu Mohd Yazid berumur 52 tahun ditahan di Petaling Jaya, semalam manakala permohonan remannya akan dibuat pada hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, suspek keempat yang menggunakan akaun Twitter @ALVINCHOW333 atau Alvin Chow berusia 43 tahun dipercayai berada di Kuala Lumpur dan usaha mengesannya sedang dibuat untuk menahan suspek.

Beliau berkata, sehingga hari ini polis telah menerima 929 laporan polis di seluruh negara berhubung kes ini dan membuka sebanyak 16 kertas siasatan bersabit kes penghinaan agama Islam.

Mohamad Fuzi berkata, kesemua kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Tindakan mencabar, menghina kepercayaan atau agama mana-mana kaum, boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini dan perlu dihentikan serta merta,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak mengendahkan perkara berkenaan.

Pada 27 Feb lepas, seorang lelaki menggunakan nama Facebook Foo Sin Wai ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW, namun dibebaskan dengan jaminan polis, dan terdahulu, tindakan lelaki itu memuat naik karikatur menghina perkahwinan Rasulullah dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara. - Bernama

Loading...