Raja Halimahton, 62, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.15 petang sejurus tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian, lapor Kosmo Online.
Almarhumah merupakan kekanda kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Iskandar.
Difahamkan, Almarhumah dikatakan turun menyelam di kedalaman 19 meter di kawasan Teluk Dalam Pasir Hantu, Pulau Perhentian dalam kumpulan lapan penyelam kira-kira pukul 4.12 petang.

Kira-kira lebih enam minit kemudian tangki yang dipakai mangsa dikatakan mengeluarkan buih manakala mangsa kelihatan lemah sebelum diberi bantuan segera oleh rakan penyelam lain.
Ketika dibawa naik ke permukaan dan dalam keadaan lemah, mangsa masih lagi mampu memberi reaksi positif dengan menunjukkan tanda bagus kepada rakan penyelam.
Bagaimanapun keadaan mangsa didapati semakin lemah dan pegawai perubatan berusaha keras memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi ketika dihubungi malam ini mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.
Beliau yang enggan mengulas lanjut menambah, kejadian itu masih dalam siasatan lanjut.