Header Ads

Kajian pengiktirafan UEC dikeluarkan Julai ini, kata Maszlee


Laporan penuh kajian dasar berhubung pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) akan dikeluarkan pada Julai ini sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kajian yang mula dijalankan sekitar Oktober tahun lalu itu merangkumi hasil perbincangan daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.

Loading...

"Sebarang syor kepada kerajaan harus dikaji secara komprehensif dengan mengambil pandangan semua pihak daripada pelbagai lapangan dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa," katanya pada sidang media ketika memperkenalkan barisan pasukan petugas dasar UEC di Kuala Lumpur, hari ini.

Pasukan petugas dasar UEC dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka) Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.

Maszlee berkata setakat ini pasukan petugas itu telah menjalankan 14 sesi temubual melibatkan 34 slot bersama tokoh individu serta pelbagai pertubuhan dan proses mengumpulkan maklumat masih berjalan.

Beliau yakin hasil kajian itu akan memberi gambaran lebih komprehensif, jelas tanpa berat sebelah dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas. -Bernama

No comments


Loading...