Beliau berkata, walaupun belum ada perbincangan mengenai cadangan itu kepada Khazanah, namun ia merupakan antara pendekatan yang boleh diambil untuk memulihkan masalah yang dihadapi syarikat itu.


Loading...

"Mungkin mereka (Khazanah) perlu mengkaji perkara itu. Syarikat yang tidak termasuk dalam bidang aktiviti Khazanah, kadangkala mereka melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh pihak lain.
"Mengenai menggugurkan syarikat, itu adalah satu daripada cara untuk mengurangkan kerugian yang dialami Khazanah," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan tiga harinya ke Filipina di sini hari ini.
Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya. Ini merupakan kerugian pertama yang dicatat syarikat pelaburan kerajaan dalam tempoh 10 tahun.

Mahathir juga berkata, Khazanah perlu menjelaskan kepada wakil rakyat dan seluruh rakyat Malaysia mengenai kerugian yang dialami oleh syarikat itu.
Katanya, syarikat tersebut juga perlu mempunyai perancangan yang menyeluruh dan pelan tindakan untuk memulihkan kedudukan syarikat daripada terus mengalami kerugian.
Beliau berkata, antara punca utama kerugian yang dialami oleh syarikat itu ialah prestasi Malaysia Airlines Bhd. (MAB) yang tidak memuaskan.
"Ini bukan suatu yang mudah untuk dipulihkan. Namun, saya yakin mereka mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat mereka yang berprestasi rendah.
"Mungkin juga mereka akan menggugurkan beberapa syarikat," katanya. - Bernama