Header Ads

Israel digesa agar menghormati undang-undang antarabangsa


KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa Israel supaya menghormati undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam ini berkata Malaysia amat bimbang dengan peningkatan keganasan di Gaza ekoran serangan balas Israel yang berlebihan.

Loading...

"Beberapa hari lepas, kedua-dua pihak terlibat dalam beberapa serangan roket. Beratus-ratus peluru berpandu juga dilancarkan daripada pesawat pejuang Israel dan pengumpulan aset ketenteraan Israel di sempadan Gaza mengakibatkan ketakutan dan panik dalam kalangan orang awam Palestin.

Perkembangan semasa di Gaza terus menunjukkan keadaan yang amat membimbangkan. Sejarah menunjukkan tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu mempunyai potensi untuk berlarutan dan membahayakan nyawa orang awam Palestin yang tidak bersalah, kata kenyataan itu.

Ia juga berkata sebarang ancaman dan provokasi yang diteruskan juga akan menyulitkan usaha untuk mencapai keamanan.


"Justeru, adalah penting sekali bagi kesemua pihak untuk berundur dan patuh kepada gencatan senjata yang telah diisytiharkan untuk mengelakkan keadaan daripada bertambah buruk,” katanya.

Angkatan tentera Israel memulakan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza Isnin lepas selepas mendakwa pejuang Hamas menyerang dan mencederakan tujuh warga Israel di Tel Aviv beberapa jam terdahulu. -Bernama

No comments


Loading...