Header Ads

Hampir 5 tahun kematian, mendiang Karpal Singh bebas tuduhan hasutan


PUTRAJAYA - Hampir lima tahun selepas kematiannya, Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan almarhum Sultan Perak berkaitan krisis negeri Perak.

Panel tujuh anggota diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan oleh sebab kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaan bekas pengerusi DAP kebangsaan (Karpal Singh) itu.

Loading...

“Dalam keadaan kes ini, kami berpendapat bahawa kegagalan itu adalah salah arah yang serius dan telah menyebabkan ketidakadilan yang sangat besar yang tidak boleh diperbetulkan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 92(1) Akta Mahkamah Kehakiman," katanya.

Mahkamah membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan denda RM1,800 ke atas Karpal Singh. Balu beliau, Gurmit Kaur, 70, bertindak sebagai perayu gantian dalam rayuan itu.

Hakim Zaharah berkata Karpal Singh membuat pembelaan beliau dengan bersumpah dan undang-undang memerlukannya supaya dipertimbang dan dinilai oleh hakim perbicaraan, bagaimanapun hakim pada akhir kes pembelaan hanya bergantung kepada penghakiman Mahkamah Rayuan (2012).


Hakim Zaharah juga berkata mengenai rayuan di Mahkamah Rayuan, majoriti panel juga gagal untuk menimbangkan pembelaannya.

"Seperti yang dinyatakan oleh peguam bagi perayu, tiga daripada empat hakim gagal untuk menganalisis pembelaan," katanya.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu hari ini ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Karpal Singh, seorang peguam terkemuka, meninggal dunia pada 17 April 2014 dalam kemalangan jalan raya di Leburaya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Perak. Beliau berusia 74 tahun.

Karpal Singh didakwa pada 2010 kerana mempersoalkan tindakan Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah, untuk menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar pada 2009.

Mahkamah Tinggi pada mulanya melepaskan dan membebaskan Karpal Singh tanpa memerintahnya membela diri pada 2010, bagaimanapun berikutan rayuan pendakwaan, Mahkamah Rayuan pada 2012, memerintahkan beliau supaya membela diri.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan dan mendenda beliau RM4,000. Pada 2016, Makamah Rayuan, dengan keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan ke atasnya tetapi mengurangkan denda kepada RM1,800.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan denda, Gurmit, yang merupakan pentadbir harta mendiang suaminya, akan menerima pencen dan manfaat lain yang dinikmati seseorang wakil rakyat.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, Gurmit, yang mengalirkan air mata, berkata: ”Saya baru membuat persediaan bagi ulang tahun ke lima beliau dan saya tahu kini, beliau dapat bersemadi dengan tenang. Beliau sentiasa mempertahankan dirinya.”

Peguam Ram Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa selepas 10 tahun, akhirnya nama bapa beliau telah dibersihkan.

"Perlu diakui bahawa kesudahannya, apa yang beliau lakukan pada 2009, bagi beliau, adalah sesuatu yang perlu dilakukannya sebagai seorang Anggota Parlimen atas kedudukan rasminya sebagai wakil rakyat. Kata beliau, ia memang bukan sesuatu yang peribadi,” katanya.- Bernama

No comments


Loading...