Header Ads

Hak kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak


Meskipun kerajaan sentiasa komited dalam usaha menjamin kebebasan bersuara rakyat Malaysia, hak kepada kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada. 

Loading...

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pengguna media sosial yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara khususnya mereka yang menghina institusi diraja, perkauman dan agama. 

“Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan adalah antara instrumen perundangan khusus bagi menangani penyalahgunaan yang berupa provokasi dan penghinaan terhadap kaum dan agama serta institusi diraja 

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula bagi kesalahan penggunaan tidak wajar berasaskan aduan yang diterima daripada masyarakat awam dan daripada pihak yang terkesan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. 


Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang ingin tahu apakah tindakan tegas diambil terhadap pengguna media sosial yang sewenang-wenangnya menghina agama, hak istimewa orang Melayu dan institusi raja-raja. 

Menurutnya, langkah pengkemaskinian dan penambahbaikan undang-undang berkaitan penyalahgunaan media sosial akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan peruntukan undang-undang terbabit terus kekal relevan dan selaras peredaran semasa.

Eddin Syazlee juga berkata kempen kesedaran sentiasa dijalankan di bawah agensi kementerian seperti RTM, selain kempen yang dibuat secara terus kepada masyarakat yang bertujuan untuk menyedarkan dan mendidik.

“Perkara-perkara yang melibatkan apa jua agama tanpa mengira kaum tertentu adalah satu perkara sensitif dan sentiasa diambil berat untuk diletakkan dalam kedudukan yang stabil supaya tidak wujud elemen-elemen yang boleh memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
- Bernama

No comments


Loading...