Header Ads

'Dakwaan SPRM ke atas saya langgar undang-undang antarabangsa' - Bekas pengarah AIAC

Foto oleh The Star

Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) A Sundra Rajoo berkata hasrat SPRM untuk mendakwanya esok akan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sundra berkata jawatan AIAC mempunyai imuniti dan tindakan undang-undang tidak boleh dikenakan ke atasnya berhubung tindakan yang dilakukan ketika menjadi pegawai kanan AIAC.

Loading...

"Justeru, saya menganggap sebarang dakwaan ke atas saya akan melanggar undang-undang antarabangsa, dan menjejaskan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang-Asia Afrika (AALCO) dan AIAC," katanya dalam satu kenyataan.

AIAC diletakkan di bawah perjanjian antarabangsa antara AALCO dan kerajaan Malaysia.

Sundra juga berkata bahawa SPRM menahannya pada 20 Nov 2018, namun permohonan reman tujuh hari ke atasnya ditolak kerana imuniti yang ada padanya.

"Kerajaan secara terbuka komited mematuhi undang-undang ini. Saya rasa percubaan untuk menarik imuniti saya bercanggah dengan surat itu dan semangat bukan hanya undang-undang tempatan, tapi juga undang-undang antarabangsa.

"Ia juga akan melanggar perjanjian yang ditandatangani Malaysia dengan AALCO, organisasi antarabangsa yang mana Malaysia merupakan negara anggota," katanya lagi.

Sundra pada 6 Mac lalu memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menegaskan semula imunitinya berhubung tindakan yang dilakukannya ketika menjadi pengarah AIAC.

Bagaimanapun, Sundra berkata, SPRM kini merancang untuk mendakwanya sebelum semakan kehakiman didengar.

"Tindakan tergesa-gesa yang tidak seharusnya berlaku untuk membawa dakwaan ini, sehari sebelum permohonan saya ditetapkan untuk pendengaran sangat menggusarkan.

"Saya harap permohonan saya kepada mahkamah tidak akan dipinggirkan oleh pendakwaan," katanya.

Sundra mendapat perhatian selepas SPRM menyerbu pejabatnya tahun lalu dan beberapa kakitangannya disoal siasat.

Dia disyaki menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan manfaat daripada menteri untuk menyambung kontraknya.

Perkembangan itu hadir ketika surat dikirim kepada beberapa pihak termasuk SPRM, Peguam Negara Tommy Thomas, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun.

Rajoo bagaimanapun menyifatkan dakwaan dalam surat itu sebagai "tidak benar dan tidak berasas". - Malaysiakini

No comments


Loading...