Header Ads

Cadang Felda ambil semula tanah 320,000 hektar daripada FGV : Kerajaan sedia timbang cadangan ANAK

Foto oleh TMI

Cadangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) agar Felda mengambil semula pajakan aset tanah seluas 320,000 hektar daripada FGV Holdings Berhad (FGV) akan dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata bagaimanapun cadangan itu perlu diperhalusi sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.


Loading...
"Kerajaan perlu melihat semua aspek seperti pajakan, kos pengambilalihan serta terma perjanjian sama ada bolehkah perjanjian itu ditamatkan.

"Secara dasarnya kami bersetuju cadangan ANAK itu dan banyak perkara kena perhalusi seperti rundingan perundangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan dan mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di Kota Bharu, hari ini.

Katanya apa pun kerajaan pimpinan Pakatan Harapan bersungguh untuk membela nasib kebajikan peneroka agar terus terjamin.

Azmin berkata apa yang berlaku dalam Felda adalah membabitkan soal legasi terdahulu dan segala permasalahan yang terpaksa ditanggung kerajaan sekarang.

“Ini bukan isu Pakatan Harapan dan ini isu legasi kerajaan terdahulu yang hutang kira-kira RM8 bilion yang bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan," katanya.

Beliau berkata pengurusan baharu Felda sedang cuba untuk mengatasi semua permasalahan dan sedang menggubal pelan pemulihan.

Penasihat ANAK, Mazlan Aliman semalam menyarankan Felda mengambil semula pajakan aset tanah seluas 320,000 hektar bersama 68 kilang daripada FGV bagi mengatasi masalah aliran tunai dan beban hutang tinggi ditanggung agensi itu.

Mazlan berkata Felda boleh berbuat demikian selaku pemegang saham terbesar dalam FGV sebanyak 34 peratus dan aset tanah berkenaan dianggar bernilai RM2.5 bilion manakala operasi 68 kilang sawit pula mampu menjana pendapatan tahunan RM1 bilion. - Bernama

Loading...