Header Ads

Bilangan jawatankuasa khas ditambah sesi Parlimen Mac

    Foto oleh Bernama

KUALA LUMPUR - Bilangan jawatankuasa khas baharu Dewan Rakyat akan ditambah pada sesi Parlimen Mac ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata semua jawatankuasa yang diwujudkan bertujuan memastikan semua kementerian tertakluk di bawah satu sistem kawal selia.

Loading...

“Jawatankuasa itu juga akan melihat sesuatu isu dengan lebih terperinci. Isu yang tidak mampu dilaksanakan dalam dewan besar (Parlimen), jadi mereka akan sediakan laporan yang turut akan dibentangkan dalam dewan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan ‘Reformasi Sistem Pilihan Raya : Manfaat Untuk Generasi Muda’ di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau menjelaskan terdapat beberapa negara yang mengamalkan sistem ini dan beliau yakin Malaysia juga dapat mengadaptasi sistem yang sama dengan baik.

Pada 4 Disember lepas, Mohamad Ariff mengumumkan penubuhan enam Jawatankuasa Pilihan Khas, pertukaran beberapa anggota jawatankuasa pilihan serta penubuhan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet: Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.


Sementara itu, seminar anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Parlimen, Universiti Teknologi Mara Kampus Raub, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKIM) dan Bersih 2.0 dihadiri lebih 200 peserta termasuk pelajar dan pensyarah.

Ia bertujuan memastikan suara dan peranan anak muda tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan membawa agenda reformasi sistem pilihan raya, selain meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan anak muda mengenai pembaharuan sistem tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Ariff turut membuka ruang kepada orang luar secara amnya untuk bekerjasama dengan warga Parlimen bagi mewujudkan satu hubungan dua hala mantap dan bagi menerangkan fungsi Parlimen. 

“Parlimen hendaklah dianggap sebagai bukan sahaja tempat menggubal undang-undang atau ruang perbahasan polisi, malah ia merupakan kawasan ‘mesra rakyat’ bagi mereka kemukakan cadangan. Malah hampir setiap bulan sejak Julai lalu, kita mengadakan seminar dan bengkel kepada orang luar,” katanya. - Bernama

Loading...