Header Ads

Bergembiralah Najib, lambat laun ke penjara juga



Semenjak 9 Mei 2018, hidup Najib Razak tidak lagi seindah seperti semasa sembilan tahun menjadi perdana menteri Malaysia.

BN pimpinannya buat kali pertama dalam sejarah kalah dalam pilihan raya umum.

Dunia memerhatikan segala skandal yang ditutupnya ketika berkuasa terbongkar. Rumahnya digeledah polis. Ratusan juta ringgit ditemui dan pelbagai barang kemas miliknya dan isteri dirampas polis.


Loading...

Semua ini tidak pernah disangka Najib akan berlaku kepada dirinya. Maklumlah, Najib lahir daripada keluarga bangsawan.

Ayahnya, Abdul Razak Hussein merupakan perdana menteri kedua selain orang kuat Istana Pahang.

Selepas hilang kuasa, setiap hari media melaporkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib yang ditutup ketika beliau berkuasa.

Media arus perdana yang sebelum ini dikawal BN merasa bebas sebebas-bebasnya.

Semuanya sudah boleh dilaporkan berbanding ketika zaman Najib menjadi perdana menteri.

Ketika Najib menjadi perdana menteri, wartawan dimasukkan ke dalam lokap. Portal atas talian disekat dan ditutup. Permit akhbar digantung.

Hari ini di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Najib bernasib baik kerana media tidak lagi dikawal kerajaan.

Maka Najib masih lagi mendapat liputan. Disebabkan itu Najib memperkuatkan pasukan media sosialnya.

Tentera upahan

Sebaik sahaja selepas kalah PRU14, akaun bank Najib dibekukan. Maka Najib tidak dapat bergerak. Akaun banknya disiasat sama ada berkait dengan 1MDB atau tidak.

Akan tetapi pada Julai, kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad tidak lagi membekukannya selepas mendapati ia tidak berkaitan dengan 1MDB.

Sebaik sahaja akaunnya tidak dibekukan, maka Najib pun menyusun pasukan sibernya.

Salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno ditugaskan untuk menggepalainya.

Jutaan ringgit dihabiskan untuk menguatkan pasukan sibernya yang terdiri daripada antaranya wartawan-wartawan yang bertugas dengan pelbagai agensi media.

Malahan ada wartawan daripada portal media yang kerjanya hanya menulis berita Najib dan mengikut segala aktiviti bekas perdana menteri itu.

Maka tidak hairanlah dalam satu hari, akaun Facebook Najib akan mempunyai empat lima posting menghentam kerajaan PH.

Semuanya akan mendapat liputan media kerana kerajaan hari ini tidak mempunyai dasar untuk mengawal media.

Ini semua menjadi hiburan baru kepada Najib. Pada masa sama, pasukan peguamnya terus menerus cuba untuk menangguhkan perbicaraan rasuah dihadapinya.

Disebabkan itu kerajaan pimpinan Dr Mahathir bakal menubuhkan mahkamah khas untuk menguruskan kes-kes berkaitan dengan rasuah.

Perdana menteri berkata penubuhan mahkamah itu nanti tidak akan menjejaskan mahkamah biasa.

“Ini cadangan baharu kerana kita perlu menentukan kes-kes rasuah diberi masa oleh mahkamah khusus yang tertumpu semata-mata kepada kes rasuah.

“Ia memerlukan undang-undang kerana ia akan mengubah ciri-ciri asas mahkamah, jadi perlu ada kesungguhan untuk melawan rasuah.

“Kerajaan dalam proses akhir penilaian cadangan ini dan akan diwujudkan secepat yang mungkin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) baru-baru ini.

Selagi bebas, bergembiralah Najib dengan pasukan media sosialnya. Lambat laun beliau akan ke penjara juga.


AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan beliau merupakan pandangan peribadi atas kapasiti sebagai seorang penulis dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian kami di Malaysian Update.

Sumber: Malaysiakini

No comments


Loading...