Header Ads

Anifah kata Jumpa Mahathir bincang MA63


Spekulasi bekas menteri luar, Anifah Aman bakal menyertai Bersatu bertiup kencang apabila beliau dirakamkan bergambar bersama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu.

Walau bagaimanapun, ahli parlimen Kimanis itu hari ini menerangkan bahawa perjumpaan mereka adalah bagi membincangkan tentang persetujuan kerajaan persekutuan untuk mengembalikan status Sabah sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963, lapor Malaysiakini.

Loading...

“Saya telah mengadakan pertemuan dan kunjungan hormat kepada Dr Mahathir di kediamannya di The Mines pada Jumaat lalu.

“Intipati utama dalam perbincangan saya dengan perdana menteri ialah berkenaan dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“(Ini) termasuk persetujuan kerajaan persekutuan untuk mengembalikan status Sabah menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas penubuhan Malaysia,katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Anifah, secara konsisten beliau menyatakan bahawa kerajaan persekutuan seharusnya melaksanakan apa yang telah dijanjikan termasuk mengembalikan hak-hak negeri Sabah yang antaranya, pembayaran royalti petroleum.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya tiada halangan sekiranya Bersatu ingin melebarkan sayapnya ke negeri Sabah kerana selari dengan norma demokrasi.

“Saya akan tetap menyokong perdana menteri dan kerajaan selama mana matlamat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 ditunaikan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana telah menerima baik segala usul yang saya utarakan kepada beliau,” katanya.

Anifah dalam hantaranya langsung tidak menyebut tentang desas desus sebelum ini yang mendakwa beliau akan menyertai Bersatu.

Pada Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Bersatu tetap akan membuka cawangan di Sabah. Walau bagaimanapun katanya, kewujudan Bersatu di Sabah bukan untuk menentang pentadbiran ketua menteri, Shafie Apdal yang mengetuai Warisan.

Sebaliknya, kata Mahathir dengan adanya Bersatu di negeri di bawah bayu itu, ia akan mengukuhkan lagi kerajaan negeri.

Loading...