Header Ads

Tun M - Jangan gunakan identiti kaum sebagai pengukur kekayaan, kemiskinan



GEORGETOWN: Identiti kaum tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai kejayaan ekonomi kerana semua rakyat berpeluang untuk meraih kemajuan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau berkata kerajaan sedang berusaha untuk merapatkan lagi jurang perbezaan pencapaian ekonomi yang dialami rakyat sekarang sebagai langkah yang dapat mempercepatkan lagi kemajuan negara.

Loading...

“Kerajaan akan terus berusaha merapatkan (lagi) hubungan (antara golongan) miskin dan kaya supaya kekayaan negara kita dapat diagih bersama. Jangan samakan identiti kaum dengan kaya dan miskin,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Perpaduan di Dewan Sri Pinang di sini.
Perhimpunan berkenaan bersempena sambutan Hari Perpaduan dan Ulang Tahun ke-15 Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP).
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Mohd Yussof Latiff.
Dr Mahathir berkata semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari sejak awal kemerdekaan turut membolehkan negara ini mengharungi cabaran rusuhan antara kaum yang berlaku pada 1969.


“Rusuhan biasanya membawa kesan yang panjang tetapi rusuhan 1969 yang berlaku di Malaysia tamat dalam jangka masa yang pendek saja kerana rakyat masih dapat bersatu dan seterusnya menubuhkan kerajaan campuran,” katanya.
Menurutnya, kematangan rakyat turut terserlah sepanjang 14 kali pilihan raya umum yang dijalankan dan pada pilihan raya yang terakhir, negara tetap kekal aman biarpun berlaku perubahan kerajaan yang memerintah.
Beliau berkata keamanan yang dipupuk ini diikuti kedudukan geografi negara yang terlindung daripada bencana alam yang besar, menjadi ramuan yang membolehkan rakyatnya mengatur langkah untuk menjadi rakyat negara maju menjelang 2025.
“Kita bercita-cita tinggi untuk menjadi negara maju. Kita yakin (mencapainya) selagi rakyat bersatu padu, kita dapat mencapai tahap negara maju menjelang 2025. Kita terlewat sedikit tapi biarlah lewat daripada tak mencapai matlamat (negara maju) langsung,” katanya. - BERNAMA
Loading...

No comments


Loading...
loading...