Header Ads

Tujuh bekas ahli parlimen Umno boleh tarik akar umbi Umno, kata Azmin


SEMENYIH — Tujuh bekas Anggota Parlimen Umno yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selasa lepas akan memainkan peranan menarik anggota akar umbi terutamanya penduduk luar bandar untuk meninggalkan parti itu dan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu telah dijelaskan oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH dengan panjang lebar dan telah diterima dengan baik.


Loading...
Beliau berkata tujuh individu berkenaan mempunyai peranan untuk menjelaskan kepada anggota akar umbi Umno untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir dan membantu kerajaan membaiki negara.

“Saya kira justifikasi itu saya boleh terima dan kita harus maju ke depan, satu faktor yang boleh menyumbang kerana mereka ini akan turun ke bawah dan bertemu anggota Umno menjelaskan keperluan untuk meninggalkan Umno, Umno sebuah parti yang telah rosak,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di sini semalam.

Tambah Mohamed Azmin, beliau mengakui PH sukar menembusi kubu kuat Umno terutamanya di kawasan luar bandar dan hanya Anggota Parlimen Umno sahaja boleh berbuat demikian.

Selasa lepas, enam bekas Anggota Parlimen Umno iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) menerima kad keanggotaan Bersatu daripada Dr Mahathir.

Turut menerima kad keanggotaan Bersatu ialah Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang menyertai Bersatu hujung tahun lepas. — Bernama

Loading...

Loading...