Header Ads

Trend golongan muda jadi wakil rakyat jadi perhatian pengundi

    Foto oleh Bernama

SEMENYIH - Kemunculan dua calon muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, menjadi perhatian penduduk di sini khususnya golongan belia, yang jelas begitu teruja dengan trend meletakkan golongan muda untuk menjadi wakil rakyat.

Kehadiran Muhammad Aiman Zainali, 30, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjadi tumpuan pada PRK kali ini.

Loading...

Pemerhatian Bernama mendapati sehingga semalam, walaupun baru memasuki hari kelima tempoh berkempen, kedua-dua calon dilihat tidak kekok malah begitu mesra apabila bertemu dengan pengundi dan orang ramai.

Bagi generasi muda di sini, rata-rata teruja melihat kelibat calon muda yang dianggap sebagai pembaharuan dalam politik tempatan dan bukti kepada peranan anak muda yang semakin diberi perhatian.

Amin Nizam, 25, yang baharu sahaja menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi, berkata selain menilai tawaran yang dijanjikan calon, keperibadian dan pendekatan calon berkempen turut menjadi kayu ukur untuk menjadi wakil rakyat.

“Walaupun mereka (semua calon) ada cara tersendiri untuk mendekati kami, namun pada saya calon muda dilihat lebih terbuka dan bijak menyesuaikan diri ketika bertemu pengundi.

Apabila mereka (calon muda) bertemu dengan pengundi yang lebih muda atau sebaya, cara mereka lebih santai dan tak rasa jurang usia,” kata Amin kepada Bernama.

Tambahnya, kehadiran pemimpin muda mampu menggarap corak kepimpinan yang lebih segar, berdaya saing dan memperjuangkan suara serta sosio-ekonomi golongan belia.

Bagi pekerja swasta Hamizi Mamat, 30, beliau tertarik dengan ketokohan yang ditonjolkan oleh calon-calon muda pada PRK Semenyih ini.

“Kedua-duanya saya dah jumpa dan daya kepimpinan mereka amat menyerlah, malah mereka bijak mendekati masyarakat,” katanya.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,976 atau 43.99 peratus daripada 54,503 pengundi berdaftar di Semenyih berusia 21 hingga 39 tahun.

Walaupun masih muda, pengalaman Muhammad Aiman dan Nik Aziz Afiq yang masing-masing aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, memudahkan mereka apabila berdepan dengan masyarakat selain menjadi nilai tambah untuk dipilih sebagai wakil rakyat.

Dalam keseriusan dan kesibukan masing-masing berkempen, mereka tetap ‘sempoi’ dengan melayan permintaan orang ramai untuk berswafoto.

Muhammad Aiman yang juga Bendahari Bersatu Hulu Langat, berkata berdasarkan sokongan yang diterima daripada belia tempatan beliau optimis untuk memenangi hati rakyat di DUN Semenyih.

“Apabila jumpa dengan anak-anak muda Semenyih, mereka menyatakan sokongan yang padu kepada saya dan Pakatan Harapan,” katanya.

Bagi Nik Aziz Afiq, beliau yakin calon muda mampu menarik sokongan dan undi di kalangan golongan muda.

Saingan empat penjuru pada PRK ini, menyaksikan Muhammad Aiman dan Nik Aziz menentang calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi, 58, dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang'.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

SPR menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal 26 Februari ini.

 - Bernama

Loading...