Header Ads

Tepis tangan selamatkan pelajar dari diculik


IPOH - Tindakan berani seorang pelajar tingkatan satu menepis tangan seorang lelaki yang cuba menariknya masuk ke dalam kereta, menggagalkan cubaan tiga lelaki untuk menculiknya semalam.

Pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Tanjung Tualang itu hampir menjadi mangsa culik ketika sedang berjalan pulang dari sekolah.

Loading...

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asiten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, kejadian dilaporkan berlaku di hadapan simpang masuk Taman Tualang, Jalan Kampar, Batu Gajah, ketika mangsa, 13, sedang berjalan pulang sendirian pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja warna perak dikatakan telah mengekori pelajar itu sebelum kereta itu berhenti berhampirannya.

Menurut laporan polis yang dibuat pelajar itu, seorang daripada suspek yang duduk di kerusi penumpang belakang kiri telah membuka pintu kereta dan cuba menariknya masuk ke dalam kereta.

Mangsa bertindak cepat menepis tangan suspek lalu berlari pulang ke rumahnya selepas berjaya melepaskan diri.

“Hasil siasatan mendapati jarak lokasi kejadian dengan sekolah adalah kira-kira 600 meter. Kita mendapati mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan ataupun kerugian.

“Tiada saksi dan di lokasi berkenaan juga tiada premis perniagaan atau rumah serta tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” tambahnya dalam kenyataan itu.

Ahmad Adnan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan.

 - Bernama

Loading...