Header Ads

'Sistem yang ada di TBS cukup baik' - Dr Mahathir



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu terminal bas lain di negara ini mencontohi sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) yang diguna pakai di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sejak ia mula beroperasi pada 2011.
Perdana Menteri, yang turut memuji keberkesanan sistem itu berkata, pada masa sama, ia dapat meningkatkan mutu industri pengangkutan awam di negara ini terutamanya perkhidmatan bas.

Loading...

“Saya dapati ramai pengguna di sini selesa. Perkhidmatan yang ada di sini bagus. Tapi saya fikir stesen bas seperti ini perlu ada di tempat lain juga.
“Model (sistem) stesen ini boleh juga digunakan di seluruh Malaysia. Mungkin stesen lain kecil tetapi sistem yang ada di sini (TBS) cukup baik,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke TBS bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.
Dr Mahathir, yang berada hampir sejam di terminal bersepadu itu untuk meninjau operasi, turut meluangkan masa bertemu orang ramai yang menggunakan perkhidmatan di terminal itu serta mengunjungi kedai nasi kandar di Aras 4 TBS.
CTS yang diguna pakai TBS sejak lapan tahun lalu adalah sistem terkini di mana penjualan tiket secara individu oleh pengendali bas ekspres disepadukan dalam satu sistem jualan tiket yang inovatif dan terancang.
Pengguna bukan sahaja boleh membeli tiket bas di kaunter tetapi juga di kiosk tiket layan diri di 12 lokasi di terminal itu. CTS dapat mengelak pengguna daripada ditipu ulat tiket kerana setiap pembelian tiket memerlukan maklumat peribadi selain destinasi yang ingin ditujui.
Ketika melahirkan kepuasan terhadap perkhidmatan yang disediakan TBS, Dr Mahathir mahu pengguna memanfaatkan kemudahan sedia ada selain menjaga kebersihan ketika berada di terminal itu.
“Kalau nak kira jumlah pengguna memang ramai, jadi kita kena pastikan tempat ini bersih termasuk di tandas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkata idea pembinaan terminal itu dicetuskan Dr Mahathir sekitar tahun 2000.
“Beliau mahu saya menjalankan ‘study’ kerana terdapat rungutan orang ramai mengenai masalah kesesakan dan ulat tiket di stesen Pudu ketika itu. Saya ambil masa kira-kira tiga tahun untuk buat kaji selidik itu,” katanya.
Menurut Abu Sahid, terminal yang mula beroperasi pada 1 Jan 2011 itu dikendalikan Maju Terminal Management and Services Sdn. Bhd. (Maju TMAS), sebuah syarikat subsidiari milik penuh Maju Holdings Sdn. Bhd.
Dibina di kawasan berkeluasan 1.026 juta kaki persegi, terminal enam tingkat itu dilengkapi kemudahan termasuk kaunter pembelian tiket, kiosk tiket layan diri, restoran, surau dan tandas.
TBS juga mempunyai jaringan dengan pengangkutan awam bandar raya dan kemudahan jambatan pejalan kali untuk pertukaran kepada khidmat KTM Komuter, Express Rail Link (ERL) untuk ke KLIA dan Rapid KL bagi rel bersepadu serta rangkaian bas.


Dari segi keselamatan, Pengarah Urusan Maju TMAS Sdn Bhd Roslan Datuk Shariff berkata TBS dilengkapi lebih 600 kamera litar tertutup (CCTV) dan balai polis yang diuruskan Unit Polis Bantuan Maju Holdings serta disokong Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela.
“Di TBS sekarang ada 680 CCTV berbanding 542 unit sebelum ini. Kita juga sediakan 2,500 ruang parkir kereta untuk kemudahan pengguna,” katanya, dan menambah, purata pengguna terminal mencecah sehingga 40,000 pada hari biasa manakala pada musim perayaan pula meningkat kepada 70,000. 
- BERNAMA

No comments


Loading...