Beliau berkata, usaha niaga swasta yang maju dan berjaya akan menyumbang kepada ekosistem ekonomi negara daripada pekerjaan, latihan, pembangunan kakitangan, gaji, perumahan hinggalah kepada tanggungjawab sosial korporat dan manfaat lain bagi pekerja dan masyarakat.

Loading...

Menurut Mahathir, sektor pembuatan banyak menyumbang dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global dan membantu mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.  
"Untuk mengembangkan ekonomi kita, sektor pembuatan perlu kekal menjadi tulang belakang ekonomi kita, walaupun disokong oleh sektor-sektor lain seperti komoditi, perkhidmatan dan sebagainya," katanya pada majlis perasmian kilang Metrod Holdings Bhd. di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, dalam beberapa dekad ini sektor pembuatan telah mencatatkan evolusi pesat daripada pengeluaran besar-besaran menerusi tenaga kerja intensif  yang bekerja di barisan pengeluaran, kepada penggunaan robot bagi meningkatkan kecekapan dan menggunakan lebih banyak automasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
"Saya percaya dalam nilai pembuatan kepada ekonomi negara, dan ia merupakan sektor penting yang meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia dalam era 1980-an hingga ke 1990-an," katanya.

Mahathir berkata, walaupun hari ini banyak ekonomi kelihatan menumpukan lebih kepada perkhidmatan dan bukannya kepada sektor tradisional seperti pembuatan, beliau percaya ekonomi yang paling utuh dan berdaya tahan masih akan mengekalkan sektor pembuatan yang kukuh.
"Kerajaan menggalakkan kebangkitan dan kejayaan sektor swasta, mengetahui sepenuhnya yang kami akan memotong keuntungan menerusi pencukaian.
"Bagi kami, ia adalah munasabah bahawa lebih besar keuntungan yang diraih sektor swasta lebih besar bahagian cukai yang kami kutip," katanya.
Mahathir berkata, nilai dan elemen industri 4.0 (Revolusi Perindustrian Keempat) boleh menangani banyak isu berkaitan perniagaan termasuk alam sekitar, kesihatan dan keselamatan tenaga kerja, pengurusan sisa buangan, kecekapan dalam menguruskan rantaian bekalan, sumber dan sistem penghantaran.
Mengenai Industry4WRD (Pelan tindakan Malaysia bagi Industri 4.0) yang dilancarkan baru-baru ini, beliau berkata, ia adalah tindak balas negara terhadap Industri 4.0 dan seterusnya, bagi memastikan transformasi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya, agar menjadi lebih pintar dan kukuh dan dipacu oleh pekerja, proses dan teknologi. - Bernama