Header Ads

Segera tubuhkan RCI siasat salah laku badan kehakiman

    Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR - Kausus Reformasi dan Urus Tadbir Dewan Rakyat mencadangkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera untuk menyiasat dakwaan salah laku beberapa hakim kanan negara.

Timbalan Pengerusinya, Lim Kit Siang berkata, ia perlu bagi memelihara integriti dan kebebasan badan kehakiman negara.

Loading...

"Pihak kaukus juga, turut bersama-sama dengan masyarakat Malaysia amnya, amat mengambil berat akan hal ini, atas nama menjaga institusi kehakiman negara," katanya kepada pemberita selepas menghadirimesyuarat kaukus berkenaan di bangunan Parlimen hari ini.

Mesyuarat berkenaan dikendalikan oleh pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, dalam afidavit sokongan setebal 63 halaman, mendakwa terdapat campur tangan dalam kes-kes mahkamah membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Ia termasuk keputusan rayuan kes hasutan bekas Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan untuk menubuhkan RCI terhadap dakwaan salah laku badan kehakiman itu.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat itu, Anwar berkata, mesyuarat itu membincangkan cadangan BERSIH berhubung proses pilihan raya dan penubuhan jawatankuasa bersama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata mesyuarat seterusnya akan membincangkan beberapa perkara, antara lain, isu kemiskinan bandar dan desa serta kos sara hidup. 

“Kita akan memanggil wakil daripada Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi bagi membincangkan perkara ini pada mesyuarat berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar, yang juga presiden PKR berkata, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu, sebagai terbatal dan tidak sah.

Berikutan itu, PRK DUN Rantau perlu diadakan semula.

Dalam PRU14 lalu, calon dari PKR, Dr. S. Streram sepatutnya bertanding bagi kerusi berkenaan namun dihalang masuk ke pusat penamaan calon oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memiliki pas SPR. 

- Bernama
Loading...

No comments


Loading...