Header Ads

Ramai pemimpin PH turun padang demi Aiman


SEMENYIH - Penampilan naib presiden Parti Amanah Negara Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sebagai penceramah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih jelas menekankan tentang pentingnya Semenyih kekal di bawah Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi minggu depan.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu turun padang untuk bertemu penduduk di pasar pagi Beranang bagi menyatakan sokongan kepada calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Loading...

Hasanuddin menyeru penduduk supaya menyokong Muhammad Aiman pada PRK Semenyih 2 Mac ini. Semenyih adalah satu daripada dua kawasan DUN terletak dalam kawasan parlimen Hulu Langat. Satu lagi ialah Dusun Tua.

“Saya akan menghadapi kesulitan untuk berinteraksi jika ADUN yang dipilih bukan daripada kalangan parti kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

“Saya bukan meluluskan projek masjid, sekolah dan sebagainya. Kerja saya ialah sebagai kumpulan pendesak dan saya nak bersama dengan ADUN yang mampu bersama saya meminta kerajaan supaya memberikan peruntukan sewajarnya demi kepentingan penduduk di sini,” kata beliau kepada Bernama.

“Jadi saya perlukan saudara Aiman untuk bersama dengan saya,” kata Hasanuddin ketika merujuk kepada jurutera berusia 30 tahun itu yang juga bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat.

Komitmen Hasanuddin untuk memastikan kemenangan PH pada PRK itu juga jelas.


"Saya telah menangguhkan beberapa acara pagi tadi apabila diminta untuk datang dan menyokong Aiman di sini," katanya.

Semalam, kelibat tokoh-tokoh besar seperti Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga kelihatan di Semenyih untuk bertemu rakyat dan pengundi di kawasan separuh bandar ini.

Beberapa pemimpin PH juga berada di Semenyih sejak hari penamaan calon pada 16 Februari termasuk Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari.

Pemimpin lain dari PH yang tidak ketinggalan turun padang termasuk presiden Amanah Mohamad Sabu dan naib presiden Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo, naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Dr A. Xavier Jayakuma.

Turut tampil berkempen ialah Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Harun dan Ketua sayap Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman.

Semasa berkempen bagi menyokong calon PH, kegtua komunikasi Amanah Selangor Jamzuri Ardani berkata Malaysia boleh mengalami nasib seperti yang berlaku di sebuah negara di Amerika Selatan jika kerajaan tidak mengambil langkah tegas untuk memulihkan kedudukan kewangan negara.

“Sebab itulah, PH ambil pendekatan bertanggungjawab, kita tak mahu ambil pendekatan secara semberono. Maka kita pastikan dahulu kedudukan kewangan kita pulih dan kita akan melaksanakan janji kita satu persatu,” katanya.

Muhammad Aiman sendiri bekerja keras ketika turun berkempen dengan mempunyai jadual untuk bertemu rakyat bagi meraih sokongan.
Beliau melahirkan penghargaan kepada pemimpin dan akar umbi PH atas sokongan yang diberikan semasa menghadiri acara gotong-royong yang berlangsung hari ini.

Calon itu juga bersedia menerima kritikan yang membina demi kepentingan rakyat seperti yang diterimanya apabila berjanji untuk menyelesaikan masalah setempat jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

“Saya lebih bersemangat dan kita akan tunjukkan yang kita tak akan menyerah kalah dengan segala tohmahan. Kita anggap itu sebagai gurauan,” kata beliau

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertarungan empagt penjuru antara Muhammad Aiman, calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi, calon bebas Kuan Chee Heng dan calon dari Parti Sosialis Malaysia’s (PSM) Nik Abdul Aziz Afiq.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari PH, meninggal dunia pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. - Bernama

Loading...