Header Ads

Polis kelantan guna pendekatan baru sempena kempen Op Selamat


KOTA BHARU - Pengguna jalan raya dinasihatkan agar lebih menghormati peraturan berbanding takut kepada undang-undang kerana sikap itu boleh membantu mengurangkan kadar kesalahan serta kemalangan di jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan S Markandan berkata, orang ramai sebenarnya keliru dengan keadaan itu dan dilihat hanya mematuhi peraturan sekiranya berhadapan dengan pihak berkuasa.

Loading...

Katanya sebagai contoh, ada pengguna jalan raya hanya akan patuh kepada undang-undang seperti memakai tali pinggang keledar atau memandu mengikut had laju apabila berhadapan dengan pihak berkuasa.

"Daripada kesalahan yang biasa dikesan dilakukan pengguna jalan raya termasuklah memandu laju, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat serta memandu sambil menggunakan telefon tangan.

"Walaupun sudah banyak tindakan diambil namun pengguna jalan raya dilihat masih belum serik malah ada yang mengulangi kesalahan serupa," katanya kepada pemberita selepas selesai menjalankan kempen keselamatan jalan raya sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Markandan berkata, sempena Op Selamat yang dilancarkan pada 29 Januari lalu pihaknya membuat pendekatan baharu dalam mendidik masyarakat mengenai peraturan jalan raya.

Menurutnya untuk musim Op Selamat ini kempen atau syarahan mengenai keselamatan dan peraturan jalan raya telah dijalankan di 10 buah sekolah dan masjid iaitu satu pendekatan yang belum pernah dibuat sebelum ini.

"Sasaran kami adalah pelajar sekolah serta institut pengajian tinggi yang pulang bercuti yang kebanyakannya adalah penunggang motosikal. 

Kita tidak mahu mereka menghabiskan cuti semester dengan merempit sahaja tanpa memperdulikan keselamatan.

"Bagi di masjid kita juga mahu supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika pulang daripada masjid khususnya selepas solat Jumaat atau Subuh. Ada sesetengah mereka tidak memakai topi keledar dan hanya membawanya di dalam raga motosikal sahaja," katanya.

Mengulas mengenai Op Selamat, sebanyak 2,961 saman dikeluarkan polis negeri ini dalam tempoh empat hari bermula 29 Januari hingga 1 Februari 2019.

Menurutnya pada tahun lepas sebanyak 1,285 saman dikeluarkan dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,676 saman.

"Dalam operasi yang dijalankan selama empat hari, memandu melebihi had laju mencatat pengeluaran saman tertinggi iaitu sebanyak 1,255 yang kebanyakannya di laluan Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Bharu," katanya.


Dalam perkembangan sama, Markandan berkata, orang dari luar Kelantan juga perlu memahami cara pemanduan penduduk di sini supaya tidak terlibat dengan kemalangan dan perlu bersabar serta jangan mudah hilang pertimbangan.

Katanya sekiranya ada pemandu yang tidak sabar dan cuba memotong kemungkinan akan berlaku kemalangan yang biasanya berlaku dari arah bertentangan. 

- Bernama

No comments


Loading...