Header Ads

Parti komponen PH bebas tentukan cara terima ahli baru, kata Saifuddin


KUALA LUMPUR — Pakatan Harapan (PH) memberi kebebasan kepada setiap parti komponen dalam gabungan itu untuk menentukan sendiri kaedah penerimaan masuk anggota baharu ke dalam parti, kata Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah.

Jelasnya, perkara itu memang sudah pun diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum ini.

Loading...

“Sekiranya ada apa-apa pandangan dan isu yang bersangkutan dengan proses itu, ia dibincangkan dalam Majlis Presiden PH dan Majlis Presiden PH bermesyuarat lazimnya pada Jumaat pertama setiap bulan, maka itulah platform untuk mereka menyampaikan pandangan dan pendapat,” katanya selepas menghadiri sesi perbincangan meja bulat bersama kumpulan belia di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan kononnnya wujud perasaan kurang senang dalam kalangan parti komponen PH susulan penyertaan enam bekas Anggota Parlimen Umno ke dalam Bersatu baru-baru ini.

Saifuddin, yang juga Menteri Luar, berkata mesyuarat bulanan Majlis Presiden PH yang dijadualkan pada 1 Mac, namun disebabkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil Semenyih jatuh pada 2 Mac, mesyuarat berkenaan akan diawalkan.

“...sudah pasti kami boleh membincangkan perkara ini dalam mesyuarat seterusnya sekiranya ada isu yang timbul daripada pengambilan anggota baharu daripada Umno yang menyertai Bersatu,” katanya.

Kelmarin Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju agar perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan atas semangat PH. — Bernama

Loading...

Loading...