Header Ads

Najib didakwa semula untuk tiga pertuduhan ubah wang haram


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Najib, 66, yang memasuki mahkamah pukul 9.40 pagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Azman Ahmad.

Loading...

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Pekan itu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhan berjumlah RM47 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam tiga akaun miliknya, lapor Kosmo Online hari ini.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan di sini pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaian Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memaklumkan, pihaknya sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon mahkamah tidak mengenakan wang jaminan dengan alasan Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan sebelum ini tidak menetapkan sebarang ikat jamin.

“Setakat ini Najib sudah membayar wang jaminan lebih RM6 juta dan sekiranya pihak pendakwaan ingin mengenakan ikat jamin perkara itu harus dibawa ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah pihaknya akan menimbulkan bantahan terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya kerana terdapat kecacatan yang ketara.

Pihak pendakwaan kemudian bersetuju menawarkan bon jaminan peribadi tanpa cagaran.

Mahkamah kemudian membenarkan Najib dikenakan bon jaminan peribadi tanpa penjamin dan menetapkan 8 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Loading...

No comments


Loading...
loading...