Header Ads

Mukhriz: ‘Bossku’ tidak gugat PH, pengikut bukan undi Semenyih


SEMENYIH ― Imej ‘Bossku’ yang dibawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak menggugat peluang Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi itu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kebanyakan pengikut Najib yang menghadiri programnya di sini bukanlah pengundi di kawasan Semenyih tetapi merupakan orang luar.


Loading...

“(Bagi saya) ia seolah-olah satu penghinaan kepada rakyat kerana cuba meraih sokongan walaupun semua sedia maklum beliau (Najib) terpalit dengan macam-macam masalah penyelewengan.

“(Tetapi) terpulang kepada Barisan Nasional (BN) jika merasa beliau mampu memberi kekuatan kepada BN mereka boleh teruskan,” katanya kepada pemberita selepas berkempen bertemu masyarakat India di Ladang Rinching di sini, hari ini.

Menteri Besar Kedah itu turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali yang berdepan tiga lagi calon bagi kerusi DUN Semenyih.

Calon lain ialah Zakaria Hanafi (BN), calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal 26 Februari ini. ― Bernama

No comments


Loading...