Header Ads

K'jaan umum bantuan RM100 untuk penuntut IPT


Bantuan sebanyak RM100 akan diberikan kepada setiap penuntut warganegara Malaysia di institut pengajian tinggi, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata berdasarkan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan beban kewangan pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi, kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) bagi tahun ini.

Loading...

MOF berkata bantuan tersebut akan disalurkan pada hujung bulan Mac 2019 menggunakan mekanisme sedia ada, iaitu kad debit Bank Rakyat, yang merupakan penambahbaikan daripada sistem baucar buku yang terdahulu.

"Bantuan ini dijangka memanfaatkan 1.2 juta pelajar berdasarkan pangkalan data yang lama dan akan melibatkan peruntukan RM120 juta,"katanya sambil menambah perincian pelaksanaan BPPT 2019 dan kriteria kelayakan penerima akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan kelak.

"Penyaluran BPPT ini dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan pada 20 Februari 2019 untuk memberi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 untuk golongan bujang, berikutan saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memberi lebih perhatian kepada usaha-usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup.

"Bayaran BSH untuk golongan bujang ini akan memanfaatkan lebih daripada 3 juta individu dan melibatkan peruntukan RM300 juta,"katanya. - Bernama

Loading...