Header Ads

keputusan kes saman Anwar ke mahkamah persekutuan 14 mac


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Mac untuk memutuskan sama ada ia akan mendengar saman pemula yang difailkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 melanggar perlembagaan, atau memindahkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.


Hakim Datuk Nordin Hassan berkata, beliau akan meneliti persoalan undang-undang untuk mengkaji perkara itu dan mempertimbangkan sama ada perkara itu perlu dikembalikan ke Mahkamah Persekutuan untuk mendengarnya atau kekal di Mahkamah Tinggi.


Loading...

Terdahulu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pemohon memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan mengenai persoalan perlembagaan.


Sri Ram berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.


Kedua-dua persoalan perlenbagaan itu ialah sama ada peruntukan undang-undang bertulis yang berikut adalah melanggar perlembagaan, batal dan tidak sah iaitu Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, Sweksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994, atas alasan bahawa ia melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Akta MKN 2016 melanggar perlembagaan, tidak sah dan batal serta tidak berkesan.


Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili MKN memberitahu mahkamah bahawa pihak responden tidak membantah permohonan itu.



Anwar memfailkan saman pemula untuk mencabar kesahan MKN daripada segi perlembagaan tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan bahawa saman itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan kompetensi perundangan oleh Parlimen.


Akta MKN berkuatkuasa pada 1 Ogos, 2016.


Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa prosiding untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah, hendaklah difailkan di Mahkamah Persekutuan dengan cara mendapatkan kebenaran daripada hakim Mahkamah Persekutuan.


Anwar gagal dalam rayuannya di mahkamah rayuan yang menolaknya pada 6 Nov, 2017. Pada Mac, 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.


Pada 13 November 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Anwar dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit.


Dalam saman pemula yang difailkan pada 2 Ogos 2016, Anwar mendakwa bahawa pelaksanaan Akta MKN 2016 adalah melanggar perlembagaan, tidak sah dan batal. Beliau menamakan MKN sebagai defendan pertama dan kerajaan, sebagai defendan kedua.


Beliau memohon untuk mengisytiharkan Akta MKN melanggar perlembagaan dalam usaha mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap mana-mana undang-undang. - Bernama

No comments


Loading...