Header Ads

Isu vaksin : jangan sampai ada kematian baru benarkan anak divaksin



KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ibu bapa dan kumpulan antivaksin tidak seharusnya menunggu sehingga ada kes kematian untuk terbuka hati membenarkan pengambilan suntikan kepada anak sendiri.
Beliau berkata, perkara itu sangat tidak adil kepada kanak-kanak kerana mereka tidak tahu bahawa badan mereka tidak pernah divaksin dan menjadi penyumbang kepada penyebaran penyakit dalam kalangan rakan sekolah dan masyarakat setempat.

Loading...

“Ia tidak adil bagi kanak-kanak kerana mereka tidak tahu mereka tiada vaksin. Memang pengambilan vaksin itu adalah keputusan ibu bapa namun harus diingat, apabila ada kematian, ia kes yang kuat. Jangan tunggu lagi, jangan ada penambahan kes (kematian),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada program Diversity and Inclusion In The Workplace3: Raising The Bar anjuran British Malaysian Chamber of Commerce Berhad yang turut dihadiri Pengarah Eksekutifnya, Jennifer Lopez.
Hannah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes lima kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dan kini dirawat di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Kesemua kanak-kanak termasuk tiga perempuan berusia bawah empat tahun itu, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.
Seorang daripada kanak-kanak yang positif itu adalah kakak kepada budak lelaki berusia dua tahun satu bulan yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria, Selasa lepas.
Kata Hannah, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan, sangat bertepatan demi kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin. - Bernama

No comments


Loading...