Header Ads

Bersatu masuk Sabah, Shafie keluar kenyataan esok


TAWAU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan mengeluarkan kenyataan esok berhubung keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertapak di Sabah.

"Kenyataan akan dikeluarkan di Kota Kinabalu," kata Shafie ringkas ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu di sini, hari ini.

Loading...

Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum itu menyempurnakan penutupan majlis konvensyen Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Jabatan Ketua Menteri di dewan Kompleks Sukan Tawau.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu mengumumkan keputusan parti untuk mengembangkan sayap ke Sabah.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan lima ahli Parlimen serta lapan anggota dewan undangan negeri yang keluar UMNO pada Disember lepas sudah menyerahkan borang keanggotaan untuk menyertai UMNO.

Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee pula mengesahkan kira-kira 100,000 bekas ahli UMNO bersedia menyertai Bersatu.

Sebelum ini, Shafie meminta agar Bersatu mengotakan cakap untuk tidak mengembangkan parti ke Sabah selaras dengan janji 'adik-beradik' yang dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. - Bernama

Loading...

No comments


Loading...