Header Ads

'Beri lebih tumpuan pada pengundi atas pagar'

      Amirudin Shari

SEMENYIH - Jentera PH pada PRK Semenyih akan memberi lebih tumpuan kepada pengundi atas pagar dan golongan yang belum membuat keputusan dalam usahanya mengekalkan kerusi berkenaan.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari berkata, ini kerana mereka merupakan kelompok pengundi yang akan menjadi penentu kemenangan dalam PRK bagi kerusi DUN itu yang dijadual berlangsung 2 Mac ini.

Loading...

“Tiada guna kita kerah tenaga kerja dan tumpuan kita kepada golongan pengundi dan penyokong tegar yang telah membuat keputusan, keputusan mereka memang tidak boleh diubah.

“Saya yakin dengan ketokohan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kejayaan kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat, pengundi atas pagar dan yang belum membuat keputusan ini akan memilih calon PH,” katanya selepas menghadiri satu majlis, di sini hari ini.

Beliau mengulas hasil kajian Institut Darul Ehsan yang antara lain menyatakan pengundi atas pagar dilihat menjadi penentu kalah menang PRK Semenyih yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Januari lalu.


Penamaan calon PRK itu ditetapkan esok manakala hari mengundi awal 26 Februari ini.
PH semalam mengumumkan jurutera muda dan Bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali sebagai calon PRK berkenaan.

Barisan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia pula masing-masing menamakan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi dan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon. 

- Bernama
Loading...

Loading...