Header Ads

Anwar tidak pasti PAS bercakap benar


KUALA LUMPUR — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan PAS berjanji untuk menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, jika berlaku undi tidak percaya sebagai usaha untuk mewujudkan ketidaksepakatan dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata itu adalah tindakan terakhir yang boleh dilakukan parti berkenaan, selepas mereka gagal dengan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu.

Loading...

“Yang menariknya, perkara ini datang daripada PAS. Kita tidak pasti mereka bercakap benar atau tidak”, katanya kepada pemberita selepas hadir pada Persidangan Antarabangsa Thirukkural di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Anwar berkata beliau telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain beberapa hari lalu, dan tidak ada di kalangan mereka yang pernah mendengar mengenai sebarang cadangan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir seperti yang didakwa PAS itu.

“Beberapa hari lalu dan hari ini juga, saya ada berjumpa Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak ada daripada kami yang pernah mendengar perkara ini,” katanya.

Isu mengenai undi tidak percaya timbul apabila Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa terdapat dua parti dalam PH, mungkin merancang pembelotan terhadap Dr Mahathir.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula hari ini dilaporkan berkata akan mengotakan janji menyokong Dr Mahathir, jika berlaku undi tidak percaya demi meneruskan kepimpinan Islam dalam kerajaan.

Sementara itu ditanya mengenai sama ada cadangan meletakkan semula Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau adalah langkah yang tepat, Anwar berkata beliau sedia mendengar semua cadangan berhubung perkara itu.

“Kami minta beri pandangan (dalam perkara ini)...biasanya dalam setiap PRK (akan) ada cadangan nama. Kami (akan) lihat dan timbang...sama ada sesuai atau tidak,” katanya. — Bernama

No comments


Loading...