Header Ads

Amar jawab Anwar isu jatuhkan Dr M: 'Siapa makan cili dia rasa pedas'


Naib presiden PAS menafikan parti itu membuat fitnah berkaitan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bukan fitnah, kita ada maklumat, kita pun tidak cakap siapa-siapa kan. Siapa makan lada dia rasa pedas lah,” kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah seperti dilapor Harian Metro.

Loading...


Beliau ketika merasmikan Revisit Kota Bharu 2019 di Kota Baru malam tadi menjawab tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut PAS berbohong dengan menggunakan imej Islam.

Seakan-akan menyindir ketua umum PKR, timbalan menteri besar Kelantan berkata PAS tidak pernah bercita-cita untuk menjadi perdana menteri kerana parti itu tidak memiliki kerusi mencukupi di Parlimen.

“Kami pun ada 18 kerusi sahaja, tentulah orang yang bawa usul nak jadi PM daripada parti yang ada jumlah ramai (kerusi ) di Parlimen,” katanya.

Semalam, Anwar menggesa PAS tidak menggunakan nama Islam jika parti itu mengamalkan politik fitnah dan bohong kerana perbuatan itu merosakkan imej Islam.

Beliau berkata demikian diminta mengulas dakwaan ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mendakwa Anwar adalah "orang di belakang tabir" yang mahu menjatuhkan Dr Mahathir. - Malay Mail

No comments


Loading...