Header Ads

Waris Salleh Perang tuntut Johor serah pusaka RM300 bilion


KULAI — Waris keturunan Datuk Mohamed Salleh Perang yang juga Dato Bentara Luar Johor antara 1856 hingga 1912, menuntut kerajaan negeri memberi kerjasama dengan menyerahkan harta pusaka milik Allahyarham yang didakwa dianggarkan bernilai sehingga RM300 bilion.

Wakil Waris Pentadbirnya, Mohd Zaini Aris, 59, berkata penyerahan harta itu harus dilakukan secara jujur, amanah dan berhemah kerana pihaknya mempunyai dokumen sah seperti geran tanah membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset di beberapa daerah yang sehingga kini masih belum dipindah milik kepada waris berhak.

Loading...

Beliau mendakwa aset-aset itu termasuk di Johor Bahru, Kota Tinggi, Iskandar Puteri, Gunung Pulai dan Sungai Tiram.

Mohd Zaini mendakwa mereka sebelum ini berusaha mendapatkan harta pusaka berkenaan pada 2016 dengan bantuan peguam, namun tidak dapat diteruskan kerana dipercayai dihalang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami mendapati satu salinan sijil kematian Allahyarham dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dari Jabatan Pendaftaran Negara tanpa perintah mahkamah dan persetujuan pentadbir dan waris.

“Akibatnya, kes ini berlanjutan buat sekian lama tanpa sebarang penyelesaian kerana terdapat halangan dan gangguan daripada pihak tidak bertanggungjawab yang telah memasukkan kaveat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata peguam mereka telah mengeluarkan surat kepada Pejabat Tanah untuk mendapatkan pengesahan berkaitan aset-aset Allahyarham, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.

“Kami mohon suara kami didengari supaya hak kami sebagai waris diberikan dan prosedur pindah milik harta ini dapat dijalankan dengan segera memandangkan sudah berlanjutan daripada generasi kedua hingga sekarang (generasi kelapan),” katanya.

Mohd Zaini berkata Allahyarham mempunyai 4,000 waris hasil perkahwinan dengan empat isteri dan  mempunyai 10 anak.

Mengikut sejarah, Datuk Mohamed Salleh Perang merupakan insan penting dalam kemodenan Johor kerana berperanan merancang pembangunan negeri berkenaan sewaktu Sultan Abu Bakar Almarhum Tun Temenggong Raja Daing Ibrahim memerintah.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 1856 hingga 1912, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai jurutulis di pejabat kerajaan dan pesuruhjaya polis negeri selain turut terlibat dalam menyelesaikan isu persempadanan Johor-Pahang, membantu membuka bandar Mersing, Bandar Maharani di Muar dan Batu Pahat serta mengetuai penyelesaian perang Jementah.

Pada 1886, Allahyarham menerima Anugerah Bintang Seri Paduka Mahkota Johor dengan gelaran Dato’ Bentara Luar. — Bernama

No comments


Loading...
loading...