Header Ads

Rasuah RM 2 juta, Ku Nan kekalkan pengakuan tidak bersalah


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, pada 2016.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.

Loading...

Mahkamah menetapkan enam hari iaitu pada 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai 2019 untuk perbicaraan kes Tengku Adnan, 68, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.

Hakim itu juga membenarkan permohonan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan supaya mahkamah melepaskan sementara pasport anak guamnya kerana tertuduh mempunyai urusan perniagaan di luar negara selain mempunyai dua orang anak yang masih belajar di luar negara.

Mohamed Zaini membenarkan pasport diserahkan kepada Tengku Adnan sehingga tarikh sebutan akan datang pada 28 Feb dengan jaminan RM500,000 beserta seorang penjamin.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim tidak membantah permohonan pembelaan berhubung pasport itu.

Julia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes itu tidak akan dibicarakan dengan satu kes rasuah lain yang dihadapi Tengku Adnan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-Bernama

No comments


Loading...
loading...