Header Ads

Projek kerajaan hanya secara tender, siapa saja boleh sertai - Tun M



LANGKAWI 1 Jan. - Di sebalik kecaman termasuk daripada rakan komponen parti berhubung cadangan agar ketua bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan projek kerajaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa setiap penganugerahan projek hanya dilakukan secara tender.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak akan mengulangi pendekatan kerajaan sebelum ini yang didakwa menganugerahkan projek berkaitan kepada kenalan sendiri.

Loading...


Kata Dr. Mahathir, sesiapa sahaja yang berkebolehan boleh menyertai tender projek kerajaan dan akan menerima kerja-kerja tersebut setelah semua pertimbangan diambil kira.

“Itu bukan keputusan parti, itu pendapat dia, kita tak pegang kepada (cadangan) itu kita tak nak buat macam Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) buat dengan bagi (projek kerajaan) kepada kawan-kawan dia,” katanya selepas menyampaikan bantuan peralatan persekolahan dalam program Back to School di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang di sini, hari ini.

Dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Bersatu kelmarin, Naib Presidennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan agar ketua bahagian dan cawa­ngan Bersatu diberikan projek kerajaan supaya memperoleh lebih wang dan peluang bagi mempertahankan kemenangan parti dan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang.

Sayap parti itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) turut mengecam cadangan tersebut yang menyifatkan bakal mengundang salah faham dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

Berkaitan kecaman terbuka beberapa pimpinan komponen PH dalam isu itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berpandangan pihaknya mengamalkan konsep demokrasi dan terbuka untuk sebarang pendapat.


“Kadang-kadang kita tak boleh tutup mulut orang, kita demokratik tapi kalau kita kata oh itu tak boleh cakap ini tak boleh cakap tak ada lah demokrasi. Kadang-kadang dia kecam kadang-kadang dia puji tak boleh lah suruh puji sepanjang masa,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Loading...