Header Ads

PM tidak campur, Majlis Raja-Raja pilih Agong baharu


KUALA TERENGGANU — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu dapat diputuskan secepat mungkin.

Dr Mahathir berkata ia perlu disegerakan kerana beliau sendiri perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi urusan tertentu.


Loading...

“Kerajaan akur dengan keputusan Sultan Muhammad V yang telah meletak jawatan. Ia adalah mengikut perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Teregganu di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris.



Peletakan jawatan Sultan Muhammad V diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz semalam. Baginda menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.

Dr Mahathir berkata kebiasaannya Majlis Raja-Raja mempunyai peraturan dan kaedah tertentu sama ada melibatkan penggiliran mahupun undi yang telah termaktub dalam perundangan.

Ditanya mengenai pengganti Sultan Muhammad V, Dr Mahathir berkata beliau sama sekali tidak akan mencampuri urusan pengganti baginda dan ia adalah keputusan muktamad Majlis Raja-Raja.

“Kita tidak akan mencampuri urusan itu. Pengganti Yang di-Pertuan Agong akan dipilih oleh Majlis Raja-Raja. Saya tidak tahu bagaimana cara pemilihan dan mengikut adat mereka ada susunan mereka sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi menteri-menteri kabinet pada masa sekarang, Dr Mahathir berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Kita perlu ingat bahawa mereka adalah ahli kabinet baharu dan sebelum ini mereka tidak pernah jadi menteri. Mereka terbawa-bawa dalam pembangkang dulu dan sukar untuk membawa diri,” katanya.

Beliau berkata sewajarnya menteri kabinet yang ada itu diberi peluang dan tidak ada keperluan untuk menukar mereka dengan menteri yang baharu.

Sementara itu, Dr Mahathir mahu semua pihak memahami kenapa beliau sering mengutamakan masalah yang dihadapi bangsa Melayu kerana beliau mahu bangsa itu bangkit dan menjadi maju seperti bangsa lain.

“Parti Bersatu akan sentiasa mengutamakan permasalahan bangsa Melayu yang kini masih merupakan bangsa yang miskin.

“Perubahan perlu dibuat supaya Melayu juga dapat nikmat kekayaan negara kita. Kita bukan akhirnya ketinggalan jauh di belakang,” katanya.

Ketika berucap merasmikan pejabat Bersatu baharu itu, Dr Mahathir berkata Bersatu boleh menggantikan Umno untuk membela bangsa Melayu dan berharap sokongan itu diterima semua.

Dr Mahathir juga mahukan Bersatu tidak membuat kesilapan seperti kerajaan terdahulu yang akhirnya boleh meruntuhkan kerajaan.

“Jangan buat seperti yang dilakukan dahulu dan jika perkara itu berlaku, kerajaan yang ada tidak akan boleh bertahan lama,” katanya. — Bernama

Loading...