Header Ads

Pemasyhuran Tengku Ampuan dan Tengku Mahkota, Institusi diraja Pahang tempa sejarah tersendiri


PEKAN - Institusi diraja Pahang hari ini menempa sejarah tersendiri dengan pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang, satu detik yang ditunggu-tunggu rakyat di negeri ini.

Dalam istiadat yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar bakal dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baharu.

Loading...

Istiadat yang dijadual berlangsung pada 10.30 pagi akan dihadiri lebih 1,500 tetamu terdiri daripada kerabat diraja, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil masyarakat.

Pelantikan Tunku Azizah dan Tengku Hassanal diputuskan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada Selasa lepas.

Tunku Azizah yang diputerikan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang Johor Bahru, Johor merupakan Tengku Ampuan kelima dalam era moden kesultanan Pahang.

Gelaran Tengku Ampuan Pahang adalah khas untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti yang tercatat dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.


Tengku Hassanal yang diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang menggantikan ayahanda baginda yang sebelum ini telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu. 

- Bernama

No comments


Loading...