Header Ads

Peletakan jawatan Agong dilakukan dengan penuh adab sopan


KUALA LUMPUR — Peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara kelmarin dilakukan dengan penuh adab sopan, kata Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Beliau berkata walaupun meninggalkan takhta, baginda tetap meletakkan harapan supaya kestabilan dan keamanan negara terus berkekalan.


Loading...
“Sultan Muhammad mengucapkan terima kasih kepada Raja-raja yang memberi kepercayaan kepada baginda, kedua, baginda mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan serta selaku pemerintah tertinggi angkatan tentera, baginda turut menzahirkan penghargaan,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Beliau yang membincangkan topik ‘Institusi Raja Tiang Seri Negara’  berkata pertemuan enam Raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini yang menetapkan tarikh bagi memilih dan acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan timbalannya membuktikan elemen tanggungjawab yang besar.

“Apabila diumumkan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan kelmarin, enam daripada lapan Raja-raja terus mengadakan perjumpaan untuk menetapkan tarikh dan tidak tangguh lagi, dan kalau dilihat 1 Feb adalah Hari Wilayah Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong akan menyampaikan anugerah-anugerah Persekutuan dan perlu ada Agong pada hari tersebut.

“Jadi, kelajuan untuk mencapai keputusan itu menunjukkan mereka tidak mahu ada vakum dan perlu diisi secepat mungkin,” katanya.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan timbalannya akan diadakan pada 24 Jan ini.

Perkara itu diputuskan oleh Raja-raja dalam pertemuan pada 10.30 pagi semalam di Istana Negara yang turut menetapkan Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan timbalannya akan diadakan pada 31 Jan ini.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata sistem pendidikan kenegaraan merupakan isu utama dan perlu diberikan penekanan untuk membina kekuatan jati diri setiap rakyat, khususnya dalam era globalisasi dan cabaran yang dihadapi masa kini.

“Sistem pendidikan kenegaraan bukan semata-mata materialistik tetapi untuk meningkatkan perasaan romantis pelajar, dan bagaimana kecintaan kita kepada Raja dan negara serta apa juga elemen yang boleh menjadi penyeimbang kepada kemakmuran negara,” katanya.

Shamrahayu berkata institusi beraja memainkan peranan penting dalam negara kerana ia merupakan kompas yang menentukan kedudukan agama, budaya, syariat serta elemen-elemen tradisi yang menjadi identiti Malaysia. — Bernama

Loading...