Header Ads

Mayat mangsa masih sempurna biarpun terperangkap hampir tiga hari


Mayat mangsa dalam kemalangan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut Ahad lepas ditemukan dalam keadaan masih sempurna biarpun terperangkap di dalam kenderaan itu hampir tiga hari.


Loading...

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata mayat yang dikenalpasti sebagai pelajar kolej swasta, Moey Yun Peng, 20 tahun masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan itu selepas ianya berjaya dikeluarkan dari laut kira-kira pukul 6.00 petang tadi di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang di sini.

“Kereta remuk teruk akibat kemalangan, namun (keadaan) fizikal mangsa masih sempurna dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.



Katanya operasi untuk mengeluarkan kenderaan itu mengambil masa selama tiga hari dan berdepan beberapa kesukaran yang antaranya termasuk cuaca dan arus laut yang deras.

Sementara itu, usaha mengeluarkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX5 dari laut setelah terhumban ke dalamnya dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas mengambil masa lebih 24 jam berikutan faktor keselamatan para penyelam operasi menyelamat itu.

Koordinator SAR Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata keadaan kereta yang teruk dengan serpihan tajam turut mengundang bahaya kepada kumpulan penyelam yang terlibat.

"Ramai (orang awam) mempertikaikan usaha menaikkan kereta terhumban itu mengambil masa lama iaitu lebih 24 jam. Sebenarnya kami perlu mengambil kira keselamatan penyelam.

"Selain itu faktor arus deras dan penglihatan yang terhad di dasar laut turut menjadi kekangan kepada pasukan penyelam untuk turun ke kereta mangsa bagi memasang kabel bagi membolehkan kren menarik kenderaan tersebut ke atas Jambatan Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar semalam

Katanya kejayaan operasi sejak hari Ahad, adalah hasil kerjasama lima agensi terdiri 169 orang pegawai dan anggota APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Rozali berkata pasukan operasi itu melakukan dua percubaan sebelum berjaya menaikkan kereta bersama mayat pemandunya ke atas Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 6.07 petang tadi. - Bernama



No comments


Loading...