Header Ads

KPM disaran tetapkan harga siling yuran PIBG

Foto The Star

Kementerian Pendidikan disaran menetapkan harga siling bagi pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berdasarkan kemampuan setiap ibu bapa.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan berkata langkah itu bagi mengelak ibu bapa terbeban dengan jumlah yuran yang terlalu tinggi di sesetengah sekolah terutamanya di kawasan bandar.

Loading...

“Kementerian perlu mengeluarkan garis panduan had yuran yang perlu dibayar ibu bapa dengan mengambil kira kepada kedudukan dan jenis sekolah serta keupayaan ibu bapa pelajar itu sendiri sama ada di sekolah menengah, rendah mahupun di luar bandar.

“Malah kementerian juga boleh memberi pengecualian kepada ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai atau daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) daripada membayar yuran tersebut,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam bahawa pihaknya tidak bercadang menyelaraskan yuran PIBG di seluruh negara, namun berharap terdapat perbincangan mengenai perkara itu bersama ibu bapa terlebih dahulu supaya kadarnya tidak membebankan.

Menurut Mohd Ali, kementerian juga perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk PIBGN dalam menetapkan garis panduan harga siling tersebut bagi memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Malah sebarang keputusan mengenai harga siling itu juga perlu mendapat persetujuan daripada mesyuarat PIBG di sekolah dan diluluskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah.

Beliau turut mengingatkan bahawa keutamaan yuran PIBG tersebut adalah bagi keperluan kebajikan, pembangunan pendidikan mahupun keselamatan sekolah.

“PIBG mesti mengambil maklum yuran tersebut bukan lah untuk tujuan majlis keraian, membiayai pakaian seragam ko-kurikulum atau peralatan persekolahan yang boleh dibeli di kedai seperti set peralatan geometri dan buku kerja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak mencadangkan harga siling yuran PIBG pada kadar RM50 yang dianggapnya memadai dan tidak membebankan.

Beliau berkata jumlah itu jika dikumpul sudah cukup untuk menggerakkan aktiviti serta menguruskan pembelajaran pelajar selain melaksanakan program pendidikan.

“Yuran ini merupakan sumbangan ibu bapa dalam membangunkan aktiviti pendidikan anak mereka jadi sekiranya mereka berkemampuan, tidak menjadi masalah jika mereka menyalurkan lebih daripada jumlah harga siling tersebut demi anak-anak mereka,” katanya.

Mengenai jaminan kementerian bahawa tiada lambakan pelajar di sekolah harian berikutan tawaran memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun ini mengutamakan golongan B40 dan penduduk di luar bandar, Kamarozaman berkata setakat ini jumlah pelajar paling ramai bagi setiap kelas adalah 40 orang yang dianggap masih memadai.

Bagaimanapun jumlah paling bersesuaian untuk mendidik murid dengan lebih berkesan adalah pada kadar 25 hingga 30 murid bagi seorang guru.

“Sekiranya jumlah murid melebihi 40 orang setiap kelas, kami berharap kementerian mempercepatkan proses penambahan guru bagi mengurangkan beban serta memudahkan proses pembelajaran murid,” katanya.

-- Bernama

No comments


Loading...