Header Ads

Kes Najib dan Irwan, 70 saksi bakal dipanggil beri keterangan


KUALA LUMPUR - Pasukan Pendakwaan bagi kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berhubung enam dakwaan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM6.6 bilion akan memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin pada sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

Loading...

Prosiding yang berlangsung dihadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum itu diberitahu, saksi-saksi yang akan dipanggil itu adalah sebahagian daripada 138 saksi dikenalpasti membabitkan kes berkenaan.

Pada masa yang sama Jamil juga memaklumkan antara 70 hingga 80 peratus dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pasukan pembelaan.

"Kami akan menyerahkan baki dokumen sebelum 15 Januari kerana sebahagian dokumen itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)," ujarnya.

Terdahulu pada prosiding tersebut, pertuduhan ke atas Najib dan Mohd Irwan dibacakan semula oleh jurubahasa dan kedua-duanya mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 hari perbicaraan yang dijadual bermula 8 Julai sehingga 22 Ogos yang akan berlangsung setiap hari kecuali hari kecuali Jumaat.


Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan, pihaknya akan melihat semula hala tuju kes tersebut sama ada mereka akan mengemukakan permohonan supaya Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes tersebut susulan Mohd Nazlan turut mendengar kes lain berkaitan kes pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International.

Peguam, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Gheetan Ram Vincent yang mewakili Mohd Irwan juga mempunyai pendirian sama dan akan melakukan tindakan sama.

-sinar harian

Loading...