Header Ads

Kes dera bayi diklasifikasikan sebagai kes bunuh setelah kematian Aariz



SIBU: Polis mengklasifikasikan semula kes pengasuh wanita yang disyaki mendera seorang bayi di Taman Permai di sini sehingga menyebabkan kecederaan kritikal bakal sebagai kes bunuh, kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit.
Ini selepas bayi terbabit, Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan, meninggal dunia apabila mesin sokongan hayatnya dihentikan pada 11.40 pagi hari ini.

Loading...

Wanita berusia 39 tahun itu yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 
“Tempoh tahanan reman ke atas suspek yang berakhir hari ini akan disambung sehingga 17 Januari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau yang dihubungi hari ini berkata, bedah siasat ke atas bayi itu kemungkinan akan dijalankan esok.
Jenazah Aariz kini ditempatkan di rumah mayat Hospital Sibu sementara menunggu doktor pakar daripada Hospital Umum Sarawak tiba untuk melakukan bedah siasat itu.
Bayi itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya Hajijah Tahir pada 11.55 pagi.
Aariz disahkan mati otak pada 9.10 pagi semalam oleh pasukan perubatan yang merawatnya.
Keputusan untuk menghentikan mesin sokongan hayat itu dipersetujui oleh ibu bapa bayi itu semalam selepas hasil ujian ke atas otak mangsa untuk kali kedua semalam masih kekal sama.
Dalam kejadian Isnin lepas, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai di sini sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.
Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak pada bahagian kiri kepala dipercayai akibat hentakan kuat.

Suspek yang berusia 39 tahun ditahan polis pada hari berikutnya susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa.
Difahamkan jenazah Aariz akan dibawa balik dan dikebumikan di kampung halaman ayahnya iaitu di Kampung Igan, di sini sebaik sahaja proses bedah siasat selesai. – BERNAMA

No comments


Loading...