Header Ads

Keluar UMNO, sertai Warisan


KOTA KINABALU 25 Jan. - Selepas meninggalkan UMNO 12 Dis lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Datuk Musbah Jamli akhirnya mengumumkan hala tuju politiknya dengan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Musbah menyerahkan borang keanggotaannya kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini, dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang juga Naib Presiden Warisan.

Loading...

Musbah berkata selepas meninggalkan parti UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas, beliau telah berfikir secara mendalam untuk menyertai satu platform parti tempatan yang boleh memperjuangkan hak-hak rakyat.

"Adalah keputusan terbaik untuk menyertai parti tempatan berbanding dengan parti yang berasal daripada Semenanjung kerana saya berpendapat bahawa hanya parti tempatan yang benar-benar memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah.

"Oleh itu saya sangat berterima kasih kepada Mohd Shafie kerana beliau telah menerima saya untuk berjuang bersama dalam Warisan demi pembangunan khususnya di kawasan yang saya wakili," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian parti itu di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata kemasukan Musbah dalam Warisan akan menstabilkan lagi keadaan politik di Sabah.


"Kita telah memutuskan untuk menerima beliau untuk berjuang bersama-sama menyertai Warisan demi memastikan rakyat yang diwakili beliau terbela dan segala pembangunan di kawasan berkenaan dapat diteruskan.

"Oleh itu saya turut mempelawa wakil rakyat bebas di Sabah bersama-sama dengan kita dalam perjuangan demi rakyat di negeri ini. Kepentingan kita pada masa ini bukan pasal politik*kepentingan rakyat jadi keutamaan kita kerana sokongan rakyat yang membuatkan kita berada di sini," katanya.

- BERNAMA

No comments


Loading...