Header Ads

Kehadiran PM bantu kempen PRK tidak patut dijadikan isu



LIPIS: Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sepatutnya tidak dijadikan isu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan kedatangan Dr Mahathir ke sini adalah bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan bertemu perdana menteri selepas perubahan kerajaan pada Mei tahun lalu.

Loading...

“Saya fikir itu zaman dulu (Barisan Nasional) punya. Kalau zaman dulu saya tahu sebab saya (pernah) jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan jadi pengarah jentera pilihan raya terutama PRK.
“Tetapi (sekarang) ini (kerajaan) Pakatan Harapan, di mana setiap pemimpin termasuk yang tertinggi komited dalam usaha untuk membantu (calon) kita menang dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama jentera parti PRK Parlimen Cameron Highlands membabitkan Bersatu, DAP, PKR dan Amanah di Kampung Kuala Medang di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Menurut Muhyiddin, beliau yakin pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti, semua pemimpin parti berjawatan atau tidak serta perdana menteri akan turun bantu berkempen.
“Lebih-lebih lagi selepas PRU, mereka nak jumpa perdana menteri dan hendak tahu apakah mesej dan yang pasti pengundi-pengundi pasti hendak dengar.
“Jadi janganlah sebab beliau (Tun Mahathir) turun maka kita rasa kita (PH) dah nak kalah. Hari itu di PRK Palimen Port Dickson dia turun dan tempat-tempat lain juga komited sama-sama membantu jentera pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai video beli undi beliau yang tular semasa kempen PRK kali ini yang memasuki hari terakhir, Muhyiddin berkata video berkenaan adalah lama dan telah banyak kali diedarkan, bagi menjatuhkan reputasi beliau.
“Saya nak jelaskan konon ada pihak kata saya turun kempen. Hari ini baru saya sampai ke sini. Ia tak betul dan ia berlaku waktu banjir di Pulau Pinang, jauh sebelum pilihan raya diadakan,” katanya.
Klip video itu yang telah tular pada hujung tahun 2017 menunjukkan Muhyiddin bersama beberapa anggota parti berbual dengan seorang wanita warga emas, menyuruhnya untuk menyokong parti itu pada pilihan raya.
PRK Cameron Highlands pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor’ serta dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. - BERNAMA

No comments


Loading...