Header Ads

Jenazah dua beradik mati ditetak selamat dikebumi

Foto Kosmo

Jenazah dua beradik yang maut akibat ditetak dan dikelar seorang lelaki di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, di sini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Jenazah Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya Mohammad Hafiz, berusia setahun, selamat dikebumikan kira-kira pukul 7.20 malam ini.


Loading...
Terdahulu, jenazah dua kanak-kanak tersebut yang menjalani bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dibawa pulang ke rumah ibu saudaranya, di sini sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.

Ibu bapa mangsa, Idris Saad, 47, dan Noorhasyelawati Yusoff, 37, serta anak sulung mereka, Mohammad Hakim, 7, bersama lebih 200 orang hadir pada pengebumian tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin, Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz maut akibat ditetak dan dikelar seorang lelaki yang juga kenalan bapa mereka yang menerjah masuk ke dalam rumah mereka.

Bapa saudara mangsa, Soberi Saad, 52, turut cedera bahagian pipi kiri akibat dilibas dengan parang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, bedah siasat mendapati kedua-dua kematian disebabkan saluran darah utama mangsa dan saluran pernafasan putus.

Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan suspek yang berumur 49 tahun dan memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dadah kini direman selama seminggu sehingga 15 Januari ini. - Bernama

No comments


Loading...